Wednesday, July 13, 2011

Cerita 1

Debu-debu semakin menebal di bajuku.

Aku akur dengan ciptaan Allah, diriku lahir tanpa tangan dan kaki.

Setiap hari aku mengharap ehsan Bibik untuk menukarkan bajuku, namun dia berlalu sahaja apabila terlihat kelibatku.

Adakah aku terlalu hina?

Mengapa mereka memperlakukan aku sebegini?

Bukankah dahulu aku dikasihi, dilayan seperti putera raja, sentiasa dibawa ke mana-mana?

Setelah Moli tiada, dunia terasa hambar sahaja.

Molilah adikku, sahabatku, dunia akhirat.

Aku rindu malam-malam indah bersama Moli. Ah, mekar ingatanku saat dimarahi ibu kerana tidur lewat. Aku dan Moli memang begitu, jika sudah berjumpa, seperti pasangan bercinta.

Sikap Moli sudah boleh ku baca.

Aku suka menguji Moli. Mahu melihat tahap sabarnya. Si Moli ini tidak betah dengan usikanku. Riak wajahnya sentiasa tenang, susah dan senang.

Kini semuanya tinggal kenangan. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dengan takdir luka ini. Doaku dalam sedu, Allah kembalikan Moliku.

Apalah nasib aku, sebuah buku Sudoku.